Malaysia negara pertama dunia integrasi AI dalam kilang sawit
As posted on Berita Harian by Muhamad Lokman Khairi on 19 November 2024.

KUALA KANGSAR: Malaysia muncul negara pertama dalam dunia mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengoperasian kilang minyak kelapa sawit pintar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sistem yang dibangunkan Airei Sdn Bhd bagi kegunaan kilang sawit tempatan, Minsawi Industries, di sini menjimatkan kos operasi sehingga RM2.6 juta setahun.
Menurutnya, jumlah itu merangkumi kos buruh, utiliti, penyelengaraan serta mengatasi isu kehilangan minyak (oil loss) semasa pemprosesan hasil minyak sawit.
“Dengan teknologi yang ada, ia boleh mengurangkan pekerja dalam kilang terutamanya pekerja asing hampir 35 peratus.
“Kilang ini juga menambah kecekapan dari segi pengeluaran minyak, memaksimumkan penghasilan dan dapat meningkat pendapatan,” katanya selepas melancarkan Kilang Kelapa Sawit Pintar berasaskan AI pertama di dunia Minsawi Industries di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Airei, K Surendran.Johari berkata, sistem inovatif Airei mengintegrasikan empat komponen utama untuk mengoptimumkan prestasi kilang merangkumi sensor lanjutan, kamera litar tertutup berasaskan Al, sistem kawalan berasaskan AI dan penyelenggaraan ramalan.
“Sensor lanjutan diipasang di seluruh kilang untuk memantau parameter kritikal seperti suhu, tekanan dan prestasi peralatan, membolehkan pengumpulan data masa nyata untuk meningkatkan kecekapan.
“Kamera litar tertutup berasaskan AI dipasang secara strategik untuk mengesan jumlah tandan buah segar (FFB) dan mengenal pasti anomali operasi bagi memastikan pemantauan yang lancar.
“Sistem kawalan berasaskan AI mengautomasi proses, mengawal operasi, dan menguruskan sumber untuk prestasi maksimum berdasarkan analisis data masa nyata,” katanya.
Beliau menambah, penyelenggaraan ramalan menggunakan algoritma pembelajaran mesin dan data sensor untuk mengurangkan masa henti dan mengekalkan prestasi yang konsisten.
Katanya, jika semua 446 kilang kelapa sawit seluruh negara mengguna pakai teknologi AI itu, seramai 8,000 pekerja asing boleh dikurangkan sekali gus membantu menjimatkan operasi.
Ditanya kos awal bagi mengintegrasi teknologi AI itu kepada kilang sawit, beliau memberi contoh Minsawi Industries yang berkeupayaan menghasilkan 45 tan setiap jam dianggarkan menelan belanja RM5 juta.
“Namun kilang ini bukan baharu, ia sudah beroperasi 41 tahun. Jadi, mereka (Airei) ambil alih kilang ini, ubah infrastruktur, kemudian menggabungkan teknologi ini.
“Saya rasa ada hampir 185 kilang seluruh negara yang mengguna pakai sistem lama. Banyak kilang lama yang tidak mengikut spesifikasi persekitaran semasa, jadi jika mereka mahu menaik taraf kilang, saya cadang mereka lihat kilang ini,” katanya.