Kilang sawit pertama integrasi AI (Harian Metro)

Kilang sawit pertama integrasi AI

As posted on Harian Metro by Muhamad Lokman Khairi on 19 November 2024. 

 

Kuala Kangsar: Malaysia muncul negara pertama dalam dunia mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengoperasian kilang minyak kelapa sawit pintar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sistem yang dibangunkan Airei Sdn Bhd bagi kegunaan kilang sawit tempatan, Minsawi Industries, di sini, hari ini menjimatkan kos operasi sehingga RM2.6 juta setahun merangkumi kos buruh, utiliti, penyelengaraan serta mengatasi isu kehilangan minyak (oil loss) semasa pemprosesan hasil minyak sawit.

“Dengan teknologi yang ada, ia boleh mengurangkan pekerja dalam kilang terutamanya pekerja asing hampir 35 peratus.

“Kilang ini juga menambah efisiensi dari segi pengeluaran minyak, memaksimumkan penghasilan dan dapat meningkat pendapatan,” katanya selepas melancarkan Kilang Kelapa Sawit Pintar berasaskan AI Pertama di Dunia dekat Minsawi Industries dekat sini, hari ini.

 

JOHARI (kanan) bertanya sesuatu kepada Surendran (kiri) ketika melawat kilang sawit pada majlis Pelancaran Kilang Kelapa Sawit Pintar berasaskan AI pertama di dunia di Kuala Kangsar

Tambah beliau, penyelenggaraan ramalan menggunakan algoritma pembelajaran mesin dan data sensor untuk mengurangkan masa henti dan mengekalkan prestasi yang konsisten.

Johari berkata, jika semua 446 kilang kelapa sawit seluruh negara mengguna pakai teknologi AI itu, 8,000 pekerja asing boleh dikurangkan sekali gus membantu penjimatan operasi.